comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Kanak-kanak perempuan cedera disyaki dipukul kanak-kanak lain

KAJANG: Seorang budak perempuan berusia lapan tahun tercedera selepas didakwa dipukul dan ditumbuk oleh sekumpulan kanak-kanak lain di satu kawasan perumahan di daerah ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Muhamad Nasir Drahman berkata polis menerima laporan daripada seorang wanita yang juga pengasuh kanak-kanak itu pada 11 April lalu.

“Hasil siasatan mendapati kanak-kanak itu cedera dipercayai diperlakukan oleh kira-kira empat hingga lima kanak-kanak lain yang juga jiran kepada pengasuh terbabit.”

“Suspek dalam kes ini adalah kanak-kanak bawah umur berusia antara enam hingga lapan tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhamad Nasir berkata polis akan memanggil kesemua kanak-kanak yang disyaki terbabit kejadian itu untuk diambil keterangan.

Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Tasnim Muhamed Nor di talian 014-6209960 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, tular hantaran yang dimuat naik seorang pemilik akaun aplikasi X mendakwa seorang kanak-kanak perempuan dibuli dan dicederakan sekumpulan kanak-kanak lain.

Pemilik akaun itu mendakwa mangsa menerima rawatan di Hospital Kajang sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan menjalani pembedahan pada kaki.

“Mulut kena selotip, kaki kena ketuk dengan batu, leher kena cekik, hidung kena sepit dengan penyapit baju, perut kena tumbuk,” tulisnya.

Pemilik akaun itu memaklumkan pemeriksaan oleh pihak hospital mengesahkan tisu kaki kanak-kanak itu terkoyak.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri dalam satu kenyataan berkata pegawai Jabatan Khidmat Masyarakat (JKM) telah berhubung dengan ibu kepada kanak-kanak terbabit.

Katanya, kes itu juga sedang disiasat oleh Unit Kanak-Kanak Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Langat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini