comscore
Tumpuan :
Nasional

ANGKASA tumpu projek agro makanan berimpak tinggi – Abdul Fatah

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah ketika berucap pada Mesyuarat Agung ANGKASA Negeri di Seremban hari ini. – FOTO: NSTP

SEREMBAN: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) komited untuk terbabit secara serius dalam sektor agro makanan berimpak tinggi dalam usaha membantu memperkasakan sekuriti bekalan makanan negara.

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata terdapat 10 projek agro makanan akan dilaksanakan ahli gabungan koperasi itu tahun ini.

Katanya, antara projek terbabit ialah ternakan ayam di Pahang dan industri koko di Perak serta pengeluaran dan pembungkusan beras putih di Perlis.

“Kami juga sedang dalam proses untuk membangunkan projek ternakan lembu pedaging di Kedah dan Perlis dalam tempoh terdekat yang membabitkan empat buah koperasi sebagai permulaan.”

Menurut Abdul Fatah, usaha itu juga adalah untuk membantu koperasi di negeri-negeri agar lebih berdaya saing dan mampu memacu perniagaan serta dapat menyumbang kepada landskap sosioekonomi yang menyeluruh.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung ANGKASA Negeri Sembilan di Klana Resort di sini, hari ini.

Abdul Fatah berkata pihaknya ingin memastikan gerakan koperasi dapat memberikan sumbangan yang besar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di negara ini.

Menurutnya, 14 projek yang dijalankan di bawah Program Eksplorasi dan lima projek di bawah Program Ikubasi ANGKASA kini berjaya membuahkan hasil yang baik.

“Malah ketika ini, terdapat 23 buah koperasi sekolah di seluruh negara telah mencapai perolehan RM1 juta manakala Koperasi Kolej Vokasional Tanah Merah Berhad berjaya mencapai perolehan RM2 juta.”

“Ini membuktikan model koperasi yang diketengahkan ANGKASA adalah terbaik dalam membantu pelajar dan sekolah terbabit dalam bidang perniagaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata model koperasi kariah masjid dan sekolah diperkenalkan telah menjadi rujukan di rantau Asia Pasifik dan Afrika.

Di Asia Tenggara, dua negara iaitu Kemboja dan Filipina sudah mengguna pakai model berkenaan.

“Beberapa negara lain seperti Kenya, Timor Leste dan Thailand dalam proses untuk menggunapakai model berkenaan,” katanya.

Abdul Fatah berkata setakat ini terdapat 15,809 buah koperasi yang berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan keanggotaan seramai 7.22 juta orang serta memiliki aset sebanyak RM165.8 bilion dan dengan jumlah perolehan sebanyak RM64.5 bilion.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini