comscore
Tumpuan :
Dunia

Majlis Keselamatan PBB mahu ‘jeda kemanusiaan’ dilaksanakan di Gaza

FOTO: Reuters

WASHINGTON: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), akhirnya membuka mulut sejak tercetusnya konflik berdarah antara Israel dan Hamas pada 7 Oktober lalu dengan menggesa dilaksanakan `jeda kemanusiaan yang panjang’ di Semenanjung Gaza.

Resolusi itu diterima pakai apabila 12 undian menyokong yang `menyeru supaya jeda dan koridor kemanusiaan di seluruh Semenanjung Gaza dilaksanakan segera untuk beberapa hari’ bagi membolehkan bantuan sampai kepada orang awam di wilayah yang dikepung.

Bagaimanapun Amerika Syarikat, Russia dan Britain yang memiliki kuasa veto enggan untuk mengundi resolusi yang disediakan Malta itu.

Berbeza denngan AS dan Britain, keengganan Russia untuk bersetuju dengan resolusi adalah kerana tiada gesaan untuk gencatan senjata secara serta-merta.

Teks resolusi itu bagaimanapun menimbulkan persoalan mengenai bilangan hari yang akan dianggap mencukupi.

Tentera Israel mengadakan rondaan di kawasan sempada negara itu dan Palestin di Gaza semalam. FOTO: Reuters

Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stephane Dujarric berkata, ia memerlukan satu tempoh yang agak lama untuk pihaknya menggerakkan sumber yang ada.

“Sebaik sahaja kita mempunyai bahan api yang mencukupi, orang ramai boleh mendapatkan apa yang mereka perlukan,” katanya.

Resolusi Majlis Keselamatan berkenaan bertujuan mengikat sesuatu perkara di sisi undang-undang, namun beberapa ahli sering kali mengabaikannya.

Ia menyeru semua pihak untuk mematuhi kewajipan kemanusiaan antarabangsa `terutamanya berkaitan dengan perlindungan orang awam khususnya kanak-kanak’.

Ia juga menggesa ‘pembebasan segera dan tanpa syarat semua tebusan yang ditahan oleh Hamas dan kumpulan lain, terutamanya kanak-kanak’.

Lebih 230 tebusan dipercayai ditahan Hamas setakat ini.

Utusan PBB Malta, Vanessa Frazier berkata `anggota Majlis Keselamatan bersatu bersuara’.

Katanya, semua 15 anggota mempunyai `keinginan untuk menyelamatkan nyawa dan memberi kelonggaran’ kepada orang awam.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini