comscore
Tumpuan :
Dunia

Malaysia bimbang, kecewa veto halang Palestin jadi anggota penuh PBB

PUTRAJAYA: Malaysia bimbang dan kecewa dengan tindakan veto bagi menghalang kemasukan Palestin sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata, pelaksanaan veto itu menimbulkan persoalan terhadap keinginan sebenar Ahli Majlis Keselamatan PBB untuk merealisasikan hak rakyat Palestin.

Katanya, hak itu termasuk untuk menentukan nasib mereka sendiri ekoran kependudukan haram Israel di Tebing Barat, Gaza dan Baitulmaqdis Timur sejak 1967.

“Malaysia bimbang dan amat kecewa susulan penggunaan veto di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk menghalang kemasukan Palestin sebagai Anggota Penuh PBB pada 18 April 2024, walaupun terdapat sokongan daripada sebahagian besar negara anggota PBB.

“Pelaksanaan veto ke atas perkara penting dan signifikan ini menimbulkan persoalan terhadap keinginan sebenar Ahli Majlis Keselamatan PBB untuk merealisasikan hak rakyat Palestin, termasuk hak untuk menentukan nasib mereka sendiri ekoran kependudukan haram Israel di Tebing Barat, Gaza dan Baitulmuqaddis Timur sejak 1967,” katanya.

Menurutnya, Malaysia kekal komited dengan perjuangan rakyat Palestin dan akan meneruskan usaha ke arah penubuhan sebuah negara Palestin merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra 1967, dengan Baitulmaqddis Timur sebagai ibu negaranya.

“Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa, termasuk Majlis Keselamatan PBB untuk terus berusaha ke arah keanggotaan penuh Palestin di PBB,” katanya.

Terdahulu, Amerika Syarikat (AS) menghalang PBB daripada mengiktiraf negara Palestin dengan menggunakan veto untuk menafikan keahlian penuh Palestin.

AS dilaporkan berkata, sebuah negara Palestin yang merdeka harus ditubuhkan melalui rundingan terus antara Israel dan Pihak Berkuasa Palestin, bukan melalui tindakan PBB.

AS menggunakan vetonya ke atas draf resolusi supaya Palestin diterima menjadi ahli penuh PBB.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini