comscore
Tumpuan :
Nasional

Pusat urut langgar syarat lesen operasi ditutup – DBKL

Pegawai penguat kuasa DBKL menampal notis penutupan pusat urut dalam operasi diadakan Ahad lalu. – FOTO: Ihsan DBKL/ Facebook

KUALA LUMPUR: Sebuah pusat urut dikenakan tindakan ditutup oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selain dikeluarkan tiga kompaun kepada pemilik premis itu kerana kesalahan beroperasi tanpa lesen, menggajikan pekerja warga asing dan membina sekatan bilik tanpa kelulusan pihak berkuasa, Ahad lalu.

Selain itu, DBKL juga membuat sitaan ke atas peralatan seperti modem wifi, sistem kamera litar tertutup (CCTV), monitor dan perakam video yang ada di pusat urut terbabit.

DBKL dalam kenyataan berkata, tindakan itu dibuat mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016 dan Akta Parit dan Bangunan 1974.

Katanya, kesalahan pusat urut itu dikesan ketika pihaknya mengadakan operasi bersama Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan; Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sekitar Jalan Loke Yew, Cheras dan Jalan Langkawi, Danau Kota, Kuala Lumpur bermula jam 9 malam Jumaat lalu dan berakhir jam 2 pagi keesokannya.

“Dalam operasi bersepadu kali ini, DBKL bersama JAWI dan PDRM membuat pemeriksaan ke atas enam premis hiburan dan pusat urut refleksologi yang beroperasi dengan melanggar syarat lesen dikeluarkan pihak berkuasa.

“Hasil pemeriksaan ketika operasi bersepadu itu, DBKL menutup sebuah pusat urut dan mengeluarkan tiga kompaun kerana kesalahan beroperasi tanpa lesen, menggajikan pekerja warga asing dan membina sekatan bilik tanpa kelulusan serta membuat sitaan ke atas peralatan seperti moderm wifi, kamera litar tertutup (CCTV), monitor dan perakam video.

“Kesalahan diambil tindakan DBKL mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016 dan Akta Parit dan Bangunan 1974,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

DBKL berkata, dalam operasi sama, JAWI menahan enam lelaki tempatan yang menjadi pelanggan pusat urut itu dan mengeluarkan 20 Notis Perintah Hadir Kaunseling kepada pekerja tempatan di pusat hiburan menerusi peraturan mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997.

Katanya, operasi bersepadu itu berjalan lancar dengan kerjasama PDRM yang memantau keadaan dan mengawal keselamatan pegawai dan petugas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini