comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu cetak rompak digital, polisi baharu bakal diumum – FINAS

Azmir mendedahkan, banyak platform digital yang berada dalam pasaran termasuk Telegram yang paling banyak menyediakan akses untuk orang ramai memuat turun keseluruhan filem sejak 2020. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bakal mengambil tindakan berhubung isu cetak rompak digital dengan mengaktifkan semula Jawatankuasa Cetak Rompak Digital yang sebelum ini pernah beroperasi dan diwujudkan pada 2020.

Memperincikan perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, dia sudah mendapatkan bantuan maklumat lanjut daripada bahagian penguatkuasaan FINAS dalam usaha membanteras gejala berkenaan.

Katanya, sejak 2020 hingga sekarang banyak platform digital yang berada dalam pasaran termasuk Telegram yang paling banyak menyediakan akses untuk orang ramai memuat turun keseluruhan filem.

“Ada beberapa agensi di bawah jawatankuasa berkenaan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan polis.

“Dalam jawatankuasa itu juga ada juga ‘war room’ yang dikendalikan oleh FINAS yang berperanan untuk memantau aktiviti atau kandungan dimuat naik pengguna.

“Sekiranya terima laporan, kami akan terus siasat dan menyerahkan kepada jawatankuasa untuk tindakan selanjutnya.

“Ada beberapa proses perlu dilalui dan MCMC akan bertindak untuk meminta platform berkenaan supaya menurunkan kandungan yang disebarkan secara cetak rompak,” katanya.

Azmir berkata, Jawatankuasa Cetak Rompak Digital berjaya menurunkan kandungan dimuat naik dalam media sosial secara haram ketika dijalankan pada 2021 dan 2022.

“Tindakan ini sememangnya sudah dijalankan dan saya sudah diberi statistik jumlah penyedia filem cetak rompak dalam media sosial yang berjaya diturunkan.

“Pada 2021, ada banyak aduan diterima dan kami sudah ambil tindakan kepada 84 penyedia kandungan cetak rompak. Daripada jumlah itu, tindakan tertinggi diambil di Telegram iaitu sebanyak 63 penyedia.

“Kemudian pada 2022, ada 101 aduan dan tindakan sudah diambil. Pada tahun itu juga, Telegram mencatat angka tertinggi iaitu sebanyak 76,” katanya.

Azmir memberitahu, perbincangan bersama MCMC sudah diadakan bagi mengumumkan satu polisi baharu yang menuntut syarikat pengendali media sosial mendaftar dan diseliakan oleh agensi di bawah Kementerian Komunikasi itu.

“Saya sudah berbincang dengan MCMC dan dalam masa terdekat ini dan akan ada pengumuman satu polisi baharu yang menuntut syarikat pengendali media sosial mendaftar di bawah MCMC.

“Itu petanda baik kerana ia akan membantu kami mengambil tindakan lebih pantas. Langkah ini saya rasa satu kebaikan bersama MCMC.

“Selepas berbincang, kami akan aktifkan semula Jawatankuasa Cetak Rompak Digital.

“Kami bakal mengadakan kempen untuk memupuk kesedaran kepada khalayak berkenaan isu cetak rompak ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Azmir berkata, dia sudah bertemu dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau dikenali sebagai Altimet untuk berbincang lebih lanjut mengenai isu cetak rompak.

“Saya berjumpa Altimet membincangkan mengenai isu cetak rompak digital. Dalam masa terdekat, saya akan panggil mesyuarat bersama agensi lain yang terbabit,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini