comscore
Tumpuan :
Sukan

Tze Yong singkir Axelsen! Mara ke suku akhir All England!

Tze Yong melakar sejarah bermakna kariernya apabila menumbangkan Viktor Axelsen di pusingan kedua All England di Birmingham. – FOTO : BAM / FACEBOOK


BIRMINGHAM: Kejutan terbesar dilakar Ng Tze Yong dalam kariernya apabila menewaskan pemain nombor satu dunia Viktor Axelsen di pusingan kedua perseorangan lelaki All England.

Pemain bukan pilihan itu berdepan jaguh Denmark buat kali pertama dan berjaya memerangkap Axelsen 21-15 di set pertama.

Permainan berikutnya berkesudahan 21-9 memihak juara bertahan itu untuk mengheret ke pertarungan penentuan.

Tze Yong yang menghuni tangga ke-28 dunia memanfaatkan ketenangan dan memaksa lawan banyak membuat kesilapan hingga memenangi deuce 23-21 sekaligus melakar sejarah bermakna dirinya dengan mara ke peringkat suku akhir di Utilita Arena Birmingham.

Dua lagi wakil negara, masing- masing satu daripada beregu lelaki dan campuran tidak mampu melepasi pusingan kedua.

Ong Yew Sin/ Teo Ee Yi hilang momentum di hujung-hujung permainan dalam kedua-dua set ketika menentang Shohibul Fikri/ Bagas Maulana dari Indonesia.

Pilihan kelapan kejohanan itu tewas 18-21, 18-21 membolehkan lawan yang merupakan juara bertahan mara.

Tan Kian Meng/ Lai Pei Jing pula ditunjukkan jalan keluar oleh Yuki Kaneko/ Misaki Matsutomo.

Beregu campuran profesional yang diletakkan sebagai pilihan keenam itu tewas kepada wakil Jepun 21-12, 11-21 dan 19-21.





Loading...
Terkini