Tumpuan :
Sukan

Saya suruh pemain bangkit demi penyokong – Arul

The Speedy Tigers menjulang Piala Sultan Azlan Shah 2022 selepas menewaskan Korea Selatan 3-2 di perlawanan akhir di Ipoh. Foto – Facebook Hokita

Oleh: Saiyed Ismail Saiyed Hussin

IPOH: Teguran jurulatih hoki kebangsaan Arul Selvaraj di separuh masa kepada pemain negara menyemarakkan lagi perjuangan The SpeedyTigers sehingga memastikan gelaran juara Piala Sultan Azlan Shah 2022 berada di genggaman.

Ini kerana jurulatih berusia 48 tahun itu tidak berpuas hati dengan permainan awal yang ditunjukkan anak buahnya di Stadium Azlan Shah pada suku pertama dan kedua ketika Malaysia diikat keadaan semasa 1-1 dengan Korea Selatan.

“Saya cakap penonton datang nak tengok kamu main, bukan nak tengok kamu duduk atas padang, saya fikir mereka telah bekerja keras selama 10-12 dan nampak boleh kerah tenaga semaksimum jadi saya gembira semua pemain bekerja keras dan berjuang untuk segala-galanya,” luah Arul selepas tamat perlawanan.

Ia perlawanan akhir yang mendebarkan melihat gol padang Shello Silverius 30 saat sebelum suku pertama tamat, disamakan menerusi pukulan sudut penalti oleh pakar mereka Jang Jong Hyun seminit selepas itu.

Ribuan penyokong tuan rumah yang membanjiri termasuk Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah terus membakar semangat pemain negara hinggalah Muhammad Razie Abdul Rahim menyempurnakan penalti minit ke-45.

Gol ketiga dihasilkan dari tampanan Muhammad Aminuddin Mohd Zain minit ke-48 sebelum Jeon Byung Jin menambah gol kedua Korea Selatan dari pukulan sudut penalti 2 minit sebelum tamat.

Selepas membantu The Speedy Tigers menamatkan kemarau 39 tahun tidak pernah menjuarai Piala Sultan Azlan Shah, tugasan seterusnya menanti pasukan kebangsaan ialah Piala Negara-Negara FIH, di Potchefstroom, Afrika Selatan bermula 28 November hingga 4 Disember ini.

Tugasan dan tumpuan utama menyusul berikutnya iaitu Piala Dunia FIH di India, dari 13 hingga 29 Januari nanti.

Tahun 2023 juga menjadi penentu awal kelayakan skuad negara ke Sukan Olimpik 2024 Paris, apabila satu slot ditawarkan kepada pemenang emas Sukan Asia yang dilangsungkan di Hangzhou, China pada September.

Loading...
Terkini