comscore
Tumpuan :
Jenayah

Rantai amah, suami isteri ditahan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Suami isteri ditahan polis kerana disyaki merantai pembantu rumah wanita warga Indonesia di sebuah rumah di Taman Tenaga, Kajang, Selangor.

Pasangan berusia 40 dan 50-an itu diberkas petang semalam oleh sepasukan pegawai dan anggota yang melakukan serbuan di rumah mereka di Taman Tenaga .

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata,  kedua-dua mereka kini direman dua hari  sehingga esok.

“Pemeriksaan kesihatan terhadap mangsa berusia 37 tahun sudah dilakukan dan mangsa tidak alami trauma. Dia dibenarkan pulang ke rumahnya sendiri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, polis sedang menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana melakukan kurungan salah.

Media semalam melaporkan, pembantu rumah wanita warga Indonesia dikatakan dirantai majikannya sebelum diselamatkan orang ramai di Taman Tenaga di sini, pada Ahad lalu.

Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, kejadian itu berlaku  jam 9 malam ketika dia ke kedai runcit di kawasan perumahan berkenaan dan terdengar bunyi jeritan.

Dia dan pekerja kedai runcit memeriksa bunyi jeritan di tingkat dua sebuah flat namun pintu rumah itu berkunci lalu menghubungi polis meminta bantuan.

Hussein dilaporkan berkata, polis  menyelamatkan mangsa yang dipercayai dirantai oleh sepasang suami isteri rakyat tempatan di rumah terbabit.

Beliau dipetik berkata, mangsa dirantai di dalam bilik air oleh pasangan berkenaan kerana disyaki mencuri barang kemas.

Loading...
Terkini