Tumpuan :
Nasional

PM Jadi Penaung Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu

Oleh: Syafiqah Damanhuri

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghadiri Fiesta Mega Penjaja, Peniaga dan Usahawan Kecil Keluarga Malaysia di Dataran Merdeka, ibu negara petang tadi.

KUALA LUMPUR: “Masyarakat penjaja, peniaga dan usahawan kecil amat dekat di hati saya.”

Itu antara intipati ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang kini menjadi Penaung Gabungan Persatuan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia.

Menurut Datuk Seri Ismail Sabri semasa di sekolah rendah beliau pernah menjadi penjaja sekali gus memahami isu yang dibangkitkan golongan itu.

“Apa yang penjaja rasa, saya dah lalui dahulu. Setiap permohonan yang dibuat penjaja pasti saya luluskan untuk kepentingan penjaja, InsyaAllah.

“ Jadi, jangan bimbang, sebagai bekas penjaja waktu persatuan penjaja mengadu tidak diletakkan di bawah mana-mana kementerian di sinilah sejarahnya di Dataran Merdeka ini kita adakan Himpunan Penjaja 10,000 hadir pada malam itu.”

“Pengerusi persatuan penjaja membangkitkan bahawa persatuan penjaja tidak ada ‘bapa’ tidak ada kementerian yang menjaganya. Malam itu juga diumumkan persatuan penjaja diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan KPDNKK (kini KPDNHEP) yang mana saya menteri ketika itu.

“Baru-baru ini saya menerima surat dari persatuan penjaja memohon saya menjadi penaung, jadi saya katakan tadi walaupun saya Perdana Menteri saya masih lagi sebahagian daripada persatuan penjaja. Sebagai penaung, saya akan terus bantu persatuan penjaja.”

Katanya, 7 Oktober lalu kerajaan membentangkan Bajet 2023 dengan peruntukan terbesar dalam sejarah negara.

“Jika Kerajaan Keluarga Malaysia yang saya pimpin mendapat semula mandat pada Pilihan Raya Umum ke 15 PRU15, antara perkara yang akan diteruskan adalah geran one-off sebanyak RM1,000 kepada semua syarikat PMKS berdaftar dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1 bilion.

Selain itu, program SemarakNiaga 2023 akan ditambah baik dengan nilai keseluruhan berjumlah RM45 bilion berbanding RM40 bilion yang diumumkan bagi tahun 2022 merangkumi pinjaman langsung, pembiayaan alternatif dan jaminan pembiayaan.

Sejumlah RM1.7 bilion daripadanya tersedia sebagai dana pinjaman mikro dan kemudahan perniagaan untuk manfaat peniaga kecil.”

Menurut Perdana Menteri, perkara itu perlu dibentangkan sekali lagi di Parlimen untuk diluluskan selepas PRU-15.

Beliau turut mengharapkan pihaknya diberikan kepercayaan untuk menerajui negara sekali lagi pada 19 November nanti.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya, di Fiesta Mega Penjaja, Peniaga dan Usahawan Kecil Keluarga Malaysia di Dataran Merdeka, ibu negara petang tadi.

Lebih 446 penjaja dan peniaga terlibat dalam acara berkenaan.

Loading...
Terkini