Tumpuan :
Nasional

Pengawal keselamatan tak sempat lapor bongkah batu jatuh  – Bomba

Kuala Lumpur:  Pengawal keselamatan yang maut dalam insiden tanah runtuh di Wisma YPR, Jalan Syed Putra, di sini dipercayai hendak membuat laporan bongkah batu jatuh berhampiran pondok pengawal beberapa jam sebelum dia ditemui tertimbus pada kedalaman tiga meter, pagi tadi.

Penguasa Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Mohd Rizuan Razali berkata, sebelum kejadian berlaku, terdapat bongkah batu yang jatuh berhampiran pondok pengawal keselamatan itu, jam 8 malam, semalam.

“Difahamkan, pengawal keselamatan berkenaan hendak membuat laporan berhubung bongkah batu yang jatuh itu namun tidak sempat”, katanya.

Menurut Mohd Rizuan, ketika kejadian mangsa sedang bertugas dan berada di dalam pondok pengawal.

“Bomba menerima panggilan kecemasan pada 12.53 tengah malam tadi dan tiba di lokasi kejadian pada 1.05 pagi,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Mohd Rizuan berkata, anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah dan BBP Seputeh bagi operasi mencari dan menyelamat.

Beliau berkata, mangsa berusia 70-an  dikeluarkan anggota bomba kira-kira jam 6.30 pagi ini dan mayatnya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur .

“Setakat ini hanya seorang mangsa yang terlibat manakala lokasi runtuhan diserahkan kepada pihak pengurusan (Wisma YPR),” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini