Tumpuan :
Nasional

MAQIS rampas ais krim RM26,000

MAQIS Selangor merampas 3,546 karton ais krim bernilai RM26,000 di Pelabuhan Klang Barat. – FOTO: MAQIS

PELABUHAN KLANG: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor merampas 3,546 karton ais krim di Pelabuhan Klang Barat, Sabtu lalu kerana gagal mengemukakan dokumen Permit Import.

Hasilan tenusu yang diimport dari China itu dianggarkan bernilai RM26,000.

Pengarah MAQIS Selangor, Mohd Sobri Md Hashim, berkata hasil pemeriksaan rutin oleh pegawai penguat kuasa MAQIS mendapati 12,800 kilogram hasilan tenusu dibawa masuk syarikat tempatan gagal mengemukakan dokumen Permit Import yang sah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

“Sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, MAQIS sentiasa menekankan pendekatan keseluruhan kerajaan dengan mengutamakan keperluan dan suara rakyat adalah amat penting dalam menyahut cabaran keterjaminan makanan negara.

“Dalam hal ini, pendekatan secara ‘bottom-up’ dan ‘top-down’ akan terus dilaksanakan kerajaan secara strategik.

“MAQIS juga menasihati semua pengimport dan pengeksport sentiasa mengikut peraturan ditetapkan kerajaan supaya kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara di Malaysia,” katanya.

Loading...
Terkini