PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyingkap falsafah Hari Wesak sebagai usaha dan upaya memupuk kasih sayang, kemuliaan insan, prinsip hidup berdamping, hormat menghormati dan hidup dalam keadaan aman serta berukun.
Katanya, falsafah Hari Wesak yang bersifat universal itu boleh diteladani dengan cermat.
“Malaysia dikurniakan dengan pelbagai perayaan dan budaya dan ia sepatutnya memberi keinsafan kepada diri kita untuk terus membawa mesej kasih sayang serta keamanan.
“Mesej kasih sayang dan keamanan bersama persefahaman ini utuh sebagai jalan menghindari kebinasaan serta kepunahan tata hidup masyarakat majmuk di negara ini,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Anwar berkata, Hari Wesak adalah hari besar buat sahabat dalam kalangan penganut Buddha di mana mereka memperingati tiga peristiwa penting melalui satu perayaan (Trisuci Wesak).
Katanya, perayaan terbabit bertujuan memperingati lahirnya pendiri ajaran Buddha iaitu Pangeran Siddharta Gautama dan selepas mencapai Penerangan Agung pada umur 35 tahun serta matinya Pangeran Gautama pada umur 80 tahun.
“Penganut Buddha percaya bahawa untuk mencapai kebahagiaan tingkat tinggi atau Nirvana adalah dengan melawan dan membenam sikap keserakahan, kebencian dan kejahatan.
“Inilah falsafah yang sangat universal yang boleh diteladani dengan cermat.
“Selamat menyambut Hari Wesak kepada seluruh penganut Buddha di Malaysia,” katanya.