comscore
Tumpuan :
Uncategorized

Budak lemas di kolam air panas

BALING: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ditemukan lemas di satu daripada kolam air panas ketika beriadah bersama keluarganya di Pusat Rekreasi Kolam Air Panas, Ulu Legong, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat, berkata pihaknya menerima maklumat daripada Hospital Baling berhubung kejadian itu pada jam 12.10 tengah malam tadi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kanak-kanak itu dipercayai pergi ke pusat rekreasi berkenaan Sabtu lalu pada jam 8 malam bersama keluarganya untuk beriadah.

“Pada awalnya, kanak-kanak itu mandi di ruangan kolam kanak-kanak, namun mangsa dipercayai hilang daripada pandangan ahli keluarganya.

“Keluarganya kemudian mencari mangsa di sekitar kolam, tetapi gagal menemuinya. Namun, kira-kira 15 minit kemudian kanak-kanak itu ditemui tidak sedarkan diri di kolam mandi dewasa oleh pengunjung yang mandi di situ,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kanak-kanak itu kemudian dibawa keluar dari ruangan kolam renang dewasa berkenaan kira-kira jam 9.40 malam dan diberi bantuan awal oleh pengunjung di situ.

Waris mangsa kemudian menghubungi ambulans sebelum mangsa dibawa ke Hospital Baling untuk mendapatkan rawatan.

“Pegawai perubatan hospital mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia ketika dibawa ke hospital pada jam 11.20 malam dan bedah siasat dilakukan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar semalam.

Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Loading...
Terkini