comscore
Tumpuan :
Nasional

UMS mohon maaf, usaha cari sumber air alternatif

Oleh Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan rendah diri memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi seluruh warga kampus induknya di sini berhubung masalah kekurangan bekalan air di universiti itu.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin berkata, mengambil maklum luahan penuntut yang tular di laman Twitter baru-baru ini pihaknya akan terus berusaha sedaya upaya bagi mengurangkan impak catuan bekalan air.

“Pihak UMS sedar, langkah-langkah ini mungkin belum dapat memberikan penyelesaian yang menyeluruh, namun pihak UMS akan terus berusaha sedaya upaya bagi mengurangkan impak catuan bekalan air kepada para pelajar dan warga kampus induk UMS,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pihak UMS juga ujarnya menyambut baik cadangan pelajar untuk mengadakan kelas dalam talian sekiranya keadaan isu air semakin menyulitkan.

Sumber : @BalqisFazamy_/Twitter

Katanya lagi, para pelajar boleh mendapatkan info-info semasa termasuk perkembangan hal ehwal berkaitan air di dalam kumpulan Whatsapp kolej kediaman masing-masing agar maklumat yang sahih dan tepat dapat diperoleh dengan pantas.

Berdasarkan maklumat hasil daripada beberapa siri pertemuan UMS dengan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), masalah bekalan air ini dihadapi secara menyeluruh oleh penduduk sekitar Tuaran, Tamparuli, Sepanggar termasuk kampus UMS Kota Kinabalu.

Ia memandangkan loji yang membekalkan air terawat di kawasan-kawasan ini iaitu Loji Rawatan Air (LRA) Telibong, Tuaran hanya mampu menghasilkan bekalan air terawat sekitar 164 Juta Liter Sehari (MLD) berbanding keperluan sebenar sebanyak 190 MLD.

“Pada masa yang sama, kerja-kerja pemindahan dan naik taraf saluran paip di sepanjang jalan Pan Borneo juga sedang dijalankan. Maka dengan itu, pihak JANS mengambil pendekatan mengadakan catuan bekalan air.

“Kampus induk UMS sahaja memerlukan sekitar 3 MLD hingga 5 MLD sehari untuk menampung keperluan air terawat di dalam kampus,” kata kenyataan itu lagi.

Menyedari akan keperluan mendesak warga kampus khususnya di kolej-kolej kediaman pelajar, pihak UMS jelas Prof. Madya Dr. Raman ketika ini juga menggunakan perkhidmatan lori tangki bagi membekalkan air terawat JANS.

Bekalan terbabit diperolehi daripada LRA Moyog Penampang, melibatkan 20 kali penghantaran lori tangki air sehari atau anggaran kapasiti sehingga 400,000 liter sehari dibekalkan untuk kegunaan kolej kediaman pelajar dan juga bangunan sekitar dalam kampus UMS.

Pihak UMS juga telah mengenal pasti punca air bukit lain dan akan membuat perpaipan baru bagi penyaluran air bukit berkenaan untuk kegunaan pelajar.

Sebanyak RM350,000 telah diperuntukkan bagi pelaksanaan inovasi bekalan sumber air dalaman seperti air graviti, air bawah tanah dan air hujan.

“Selain itu, tangki-tangki tambahan di luar kolej-kolej kediaman yang lengkap dengan sistem pam dan perpaipan turut disediakan.

“Pihak UMS sentiasa berhubung dengan pihak JANS dalam menyampaikan tahap gangguan melibatkan kampus induk UMS dan juga pemantauan harian aras bekalan air terawat di tangki R13 JANS,” katanya lagi.

Sumber : @BalqisFazamy_/Twitter

Terdahulu, tular perbualan dalam sebuah aplikasi membabitkan pelajar UMS yang memohon pertimbangan pensyarah agar kelas kuliah diadakan secara dalam talian memandangkan pelajar terbabit susah untuk mandi susulan ketiadaan air di kolej kediaman diduduki pelajar sejak Jumaat.

Loading...
Terkini