PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan sebuah restoran di Pandan Indah, Kuala Lumpur ditutup 14 hari selepas kejadian tular video menunjukkan seekor tikus menjamah ayam goreng dalam pemanas makanan di premis berkenaan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penutupan itu dibuat bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.
Tindakan itu diambil susulan pemeriksaan dilakukan oleh pasukan penguat kuasa kesihatan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Selangor serta Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat di premis itu semalam.
“Hasil pemeriksaan mendapati tahap kebersihan makanan premis itu tidak memuaskan. Sehubungan itu, tindakan penutupan di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 dan arahan penutupan selama 14 hari dikeluarkan.
“Sebanyak enam notis kompaun turut dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 kerana gagal dalam beberapa aspek kawalan penyediaan makanan yang bersih dan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, KKM memandang serius isu kebersihan dan keselamatan makanan, justeru menyeru orang ramai terutama pengusaha dan pengendali makanan untuk menjalankan tanggungjawab bersama memastikan aspek keselamatan makanan terjaga bagi mengelakkan keracunan dan wabak penyakit bawaan makanan berlaku.
“Pengguna turut disarankan memilih premis makanan yang mempunyai logo BeSS (Bersih, Selamat dan Sihat) apabila membeli atau menjamu makan di luar rumah,” katanya.
Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan, boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui melayari laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.
Jumaat lalu, KKM meminta orang ramai memberikan maklumat berhubung video menjijikkan yang memaparkan seekor tikus sedang ‘menjamah’ ayam goreng dalam pemanas makanan sebuah restoran.
Video tular itu dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter bernama Zoey Hanafiah mendakwa ia berlaku ketika dia sedang makan di premis berkenaan.