Tumpuan :
Tular

Remaja tendang, tampar wanita dicari

KOTA KINABALU: Polis masih mengesan seorang remaja lelaki yang dilihat tular menerusi rakaman video menendang dan menampar seorang perempuan, termasuk menggunakan selipar sehingga mencetuskan kemarahan warganet.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima sebarang maklumat atau laporan polis mengenai kejadian itu sama ada benar ia berlaku di Kota Kinabalu.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya sedang menjalankan siasatan mengenai video tular berkenaan dan meminta kerjasama daripada semua pihak untuk tampil memberikan maklumat mengenai kejadian itu bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan dan menahan suspek.

Rakaman video berdurasi 18 saat itu menunjukkan remaja lelaki itu menampar beberapa kali arah muka perempuan terbabit hingga tertolak ke dinding.

Lelaki itu kemudian menyerangnya lagi dengan menendangnya sebelum bertindak menampar muka perempuan itu dengan selipar berkali-kali.

Perempuan itu hanya menangis menahan kesakitan dengan memegang kepalanya di tepi dinding.

Dalam kejadian itu, rata-rata netizen mengecam perbuatan lelaki terbabit kerana terlalu ganas.

Malah netizen, turut mengecam individu yang merakam kejadian itu kerana tertawa.

Setakat ini tidak dipastikan bila kejadian itu berlaku namun lokasi kejadian seperti di sebuah pusat beli-belah di Kota Kinabalu. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini