comscore
Tumpuan :
Nasional

Rakam video orang buang sampah merata-rata

JOHOR BAHRU: Dalam mendidik masyarakat lebih bertanggungjawab, kerajaan Johor menggalakkan masyarakat di negeri ini merakam perbuatan individu atau kumpulan yang secara sengaja dan terang-terangan membuang sampah di merata tempat.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, rakaman video dengan keterangan ringkas seperti bila kejadian dan di mana sampah dibuang memudahkan pihak penguatkuasa SWCorp untuk mengesan pelakunya.

Katanya dengan itu tindakan sewajarnya juga dapat diambil terhadap pelaku.

“Saya sebenarnya menggalakkan orang ramai merakam, kalau pelaku buang sampah guna lori atau motosikal, mereka boleh rakam dan kongsikannya dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“SWCorp ada saluran dan penguatkuasa, mereka pun boleh kongsi di laman web atau sebagainya. Dengan adanya rakaman sudah tentu tindakan akan diambil.

“Rakam video mereka membuang sampah jika ada dapat numbor pendaftaran kenderaan, mereka (pelaku) tidak boleh lari seperti kes di Iskandar Puteri, yang tular di media sosial semalam. Pihak SWCorp boleh tahu pemilik kenderaan dan di mana rumah mereka, kerja penguatkuasaan,”katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut kejadian viral itu, Mohd Jafni, berkata individu berusia awal 40 tahun itu sudah diberi notis pemberitahuan kesalahan dibawah Akta 672.

“Kejadian berlaku pada 11 Januari lalu dan notis diberikan kepada individu terbabit 26 Januari lalu.

“Seterusnya pelaku dipanggil untuk dirakam percakapan. Setelah lengkap kertas siasatan akan dibawa ke Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk proses pendakwaan di Mahkamah,”katanya.

Semalam, tular sebuah video di media sosial memaparkan tindakan empat individu tanpa rasa bersalah membuang sampah di tepi jalan menimbulkan rasa tidak puas hati pengguna media sosial khususnya rakyat Johor.

Video berdurasi 17 saat itu dirakam seorang pengguna jalan raya yang melihat tindakan empat individu itu membuang sampah dari sebuah pacuan empat roda sebelum memuat naik di laman sosial Tiktok dan turut dikongsi semula pengguna lain di Facebook.

Mendakwa kejadian berlaku di Taman Nusantara Prima di sini, video itu turut menandakan Facebook Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP); Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Polis Johor.

Video berkenaan turut mendapat perhatian, Onn Hafiz yang memberi komen balas bahawa kerajaan negeri akan mengambil tindakan segera.

“Tindakan segera akan diambil. Terima kasih atas makluman,” tulisnya di komen hantaran berkenaan.

Loading...
Terkini