KUALA LUMPUR: Sekumpulan pelajar sebuah sekolah menengah ‘meraikan’ penggal terakhir persekolahan dengan merosakkan pelbagai peralatan dan fasiliti sekolah.
Menerusi satu video yang tular di media sosial, beberapa pelajar dilihat menendang pintu sehingga pecah dan merosakkan kerusi sekolah. Kumpulan pelajar itu juga turut dilihat merosakkan kipas dan bergelak ketawa.
Difahamkan kumpulan pelajar itu adalah pelajar Tingkatan Lima.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat), Mohd Nor Izzat Mohd Johari, berkata perbuatan vandalism tidak patut berlaku.
“Sepatutnya perbuatan ini tidak lagi berlaku, nilai moral dan keruntuhan akhlak dilihat semakin serius di kalangan pelajar. Hilangnya hormat terhadap tempat untuk menuntut ilmu menjadi sebab utama perbuatan itu masih berlaku,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, ibu bapa perlu memainkan peranan dalam mengawal dan mendidik anak-anak dalam pembentukan nilai moral.
“Sekolah adalah tempat menuntut ilmu, cara meraikan sedemikian dengan merosakkan harta benda milik rakyat adalah tidak betul,” katanya. – BERITA HARIAN