comscore
Tumpuan :
Tular

MPKB-BRI Nafi Minta ‘Duit Air’

Isu mengenai isu rasuah yang tular di media sosial. (FOTO TULAR)

KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) menyangkal dakwaan seorang pengusaha ayam di bandar ini yang mendakwa perlu ada ‘duit air’ jika tidak mahu perniagaan diganggu oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dakwaan berkenaan dimuat naik menerusi satu video berdurasi enam minit lima saat yang tular di aplikasi TikTok atas nama ‘jukeeayam’ sejak beberapa hari lalu yang mendakwa perniagaannya beberapa kali diganggu oleh PBT.

Menjawab dakwaan itu, Yang Dipertua MPKB-BRI, Rosnazli Amin berkata, pihaknya memberi perhatian serius terhadap siri video yang tular di media sosial oleh seorang pengusaha ayam proses bernama Zukila atau lebih dikenali sebagai Jukee Ayam dan ingin menyangkal dakwaan itu.

Katanya, bermula 2012 hingga 2020, lelaki itu menjalankan perniagaan di enam lokasi premis berasingan dalam kawasan MPKB-BRI tanpa memiliki lesen premis perniagaan yang sah iaitu satu kesalahan di bawah Undang-undang Kecil PelesenanTred Perniagaan dan Perindustrian MPKB-BRI pindaan (2019).

“Premis perniagaan itu dikenakan tindakan kompaun di atas kesalahan berterusan iaitu tidak memiliki lesen premis perniagaan dan kesalahan kebersihan.

Lesen Zukila tidak diluluskan ketika itu kerana gagal memenuhi syarat yang dikenakan terhadap premis memproses ayam iaitu aspek kebersihan, lokasi, penyediaan tong khas untuk sisa buangan dan kawalan air limpahan.

“Bagi membantu premis itu beroperasi secara sah dan mematuhi syarat yang ditetapkan, pihak majlis memanggil Zukila untuk berunding serta bersetuju mengeluarkan lesen premis (sementara) jika pihak itu menjelaskan kompaun tertunggak serta berusaha memenuhi syarat keperluan pelesenan.

“Pihak Zukila menjelaskan bayaran sebanyak RM27,060 bagi penyelesaian tunggakan kompaun kesalahan tiada lesen, kebersihan, bayaran tong sampah, bayaran maklumat hak milik serta bayaran lesen,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pada Julai 2020, enam premis milik lelaki itu diluluskan lesen premis perniagaan (sementara) selama enam bulan bagi memastikan pematuhan berterusan terhadap syarat yang ditetapkan.

Menurutnya, permohonan pembaharuan lesen itu diluluskan untuk empat premis saja, manakala dua lagi tidak dapat pertimbangkan kerana faktor lokasi tidak sesuai.

“Lesen premis (sementara) disambung untuk enam bulan iaitu dari Mei sehingga November 2021. Pada Oktober 2021, pihak majlis tidak lagi menyambung atau meluluskan lesen kepada semua premis kerana kegagalan pengusaha mematuhi semua syarat yang ditetapkan selepas sekali pembaharuan lesen dipertimbangkan atas dasar percubaan.

“Pihak MPKB-BRI kesal dengan kenyataan palsu secara berterusan yang dibuat bagi mengelirukan masyarakat oleh lelaki itu melalui media sosial terhadap institusi kerajaan negeri, ahli politik dan pegawai MPKB-BRI.

“Pihak berkenaan dinasihatkan membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya merasakan terdapat aktiviti tidak berintegriti dan salah guna kuasa dilakukan oleh pegawai majlis,” katanya.

Rosnazli berkata, MPKB-BRI tidak teragak-agak untuk memulakan tindakan perundangan terhadap Zukila atas perlakuan memfitnah serta menghasut masyarakat dengan dakwaan palsu dan tidak beretika.

Terdahulu, satu video berdurasi enam minit lima saat yang tular di aplikasi TikTok ‘jukeeayam’ sejak beberapa hari lalu yang mendakwa perniagaannya beberapa kali diganggu oleh pihak berkuasa. -HARIAN METRO

Loading...
Terkini