Tumpuan :
Tular

Mohon Doakan Adik Furqan

KUALA LUMPUR: Tular di laman sosial video Furqan Al Haq iaitu anak kepada jaguh silat negara, Mohd Al-Jufferi Jamari berada di hospital ketika menerima rawatan akibat kanser.

Menerusi video itu, kelihatan Furqan menahan sakit sambil memanggil bapanya yang kemudian cuba menenangkannya.

Video berkenaan turut dikongsikan di laman Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) menerusi hantaran di Facebook (FB) dengan meminta orang ramai mendoakan kesihatan Furqan.

“Assalamualaikum kepada semua warga silat seantero dunia. Mohon doakan anakanda kepada ikon silat negara, Mohd Al -Jufferi Jamari diberi kesembuhan.

“(Furqan) yang sedang menghadapi kanser sedang berada di hospital dan agak kritikal,” tulisnya.

Perkongsian itu meruntun hati netizen dengan rata-ratanya mendoakan Furqan diberi kesembuhan dan ketabahan buat Mohd Al -Jufferi sekeluarga.

“Allahuakbar, semoga diberi kesembuhan dengan segera dan diangkat segala kesakitan.

“Sembuhkan anak ini ya Allah. Hapuskan segala kesakitan dalam dirinya. Insan yang terpilih Allah uji walaupun masih kecil. Semoga ada hikmahnya nanti. Insya-Allah,” tulis seorang pengguna FB dikenali Khatijah Cheram.

“Allahuakbar. Semoga diberikan kesembuhan penyakit anak ini dan dipermudahkan segala urusan Mohd Al-Jufferi, anak dan keluarga, Amin Ya Rabbal Alamin,” tulis Shamsul Bahrain Haron.

“Ya Allah. Tak sanggup tengok. Permudahkanlah Ya Allah. Angkatlah segala kesakitannya, kasihanilah si kecil ini Ya Rabb,” tulis Rina Mohamad.

Terdahulu, Mohd Al-Jufferi Jamari ada memuat naik hantaran di Instagram (IG) mengenai keadaan Furqan yang sedang bertarung nyawa akibat kanser.

Menurut Mohd Al-Jufferi, anaknya yang berusia tiga tahun itu kini berada di hospital.

Katanya, Furqan seorang anak yang kuat dan hebat kerana masih bersemangat dan berjuang untuk terus hidup.

Sebagai ayah, Jufferi berkata, dia dan isteri nampak kekuatan Furqan tatkala dimasukkan ke hospital.

“Hari ini seharian tak tidur. Dari start (mula) program kemerdekaan di Kuantan hingga pagi ni di hospital. Time to sleep (masa untuk tidur) jap (sekejap) ya Haq.

“Apa-apa Haq kejut ayah okay. Awak anak yang hebat. Hanya ayah dan mummy sahaja yang nampak kekuatan kamu. Teruskan berjuang,” tulisnya.

Hantaran berkenaan turut mendapat perhatian pengarah filem, Syamsul Yusof dan Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (PPSM) Yusuf Azmi yang mendoakan Furqan kuat dan kembali sihat.

Mereka turut berharap orang ramai dapat mendoakan segala urusan Furqan dipermudahkan. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini