comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki 84 tahun pandu lawan arus kerana sesat, alami masalah ingatan

Tangkap layar kejadian seorang lelaki warga emas yang dikesan memandu melawan arus dari Plaza Tol Sungai Dua sehingga Kilometer (KM) 126.3 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), di sini kelmarin sehingga video perbuatannya tular di media sosial. – Foto: Tangkap layar video tular

KEPALA BATAS: Seorang lelaki warga emas yang dikesan memandu melawan arus dari Plaza Tol Sungai Dua sehingga Kilometer (KM) 126.3 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), di sini kelmarin dilaporkan mempunyai masalah ingatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Assisten Komisioner Mohd Asri Shafie, berkata polis menerima laporan berhubung kejadian jam 7.43 pagi itu daripada orang awam sebelum petugas Peronda Lebuh Raya Zon Utara Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman melakukan siasatan.

Menurutnya, pemandu kereta berusia 84 tahun itu ditahan dan dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara untuk tindakan lanjut.

“Hasil siasatan awal mendapati pemandu kereta terbabit dari rumahnya di Sungai Petani, Kedah hendak ke kedai makan berhampiran dengan tempat tinggal.

“Bagaimanapun, pemandu berkenaan tersesat jalan dan masuk ke lebuh raya utara selatan serta tidak menjumpai laluan keluar untuk membuat pusingan U di tol berhampiran lalu mengambil tindakan memandu secara lawan arus,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Jelasnya, hasil temu bual dengan ahli keluarga pemandu berkenaan, warga emas itu menunjukkan sindrom lupa ingatan sejak kebelakangan ini.

“Polis turut mengeluarkan saman ke atas pemandu ini atas kesalahan lesen tamat tempoh,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Loading...
Terkini