Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Jangan layan khabar angin tarikh 1 Syawal

PUTRAJAYA: Semua pihak termasuk pengurusan masjid dan surau, disaran sentiasa membuat semakan ketepatan tarikh hijrah yang terdapat pada jam digital azan, agar sentiasa selari dengan kalendar hijrah yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) atau pihak berkuasa agama negeri dan disahkan Panel Pakar Falak.

JAKIM dalam kenyataan hari ini menyatakan pihaknya mengambil maklum tentang penularan satu tangkap layar yang memaparkan “Pemberitahuan Akhir Ramadan 1444H 20 April 2023” yang dipercayai disiarkan menerusi sebuah paparan iklan di sebuah masjid.

Foto hiasan

Menurut kenyataan JAKIM itu paparan berkenaan, telah menimbulkan spekulasi dalam kalangan warga maya mengenai tarikh Aidilfitri tahun ini.

“JAKIM ingin memaklumkan bahawa pengisytiharan tarikh 1 Syawal pada setiap tahun bagi Malaysia dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, melalui media utama sejurus menerima laporan hasil cerapan anak bulan yang dibuat di 29 lokasi cerapan rasmi, setelah mendapat mandat Yang di-Pertuan Agong yang mewakili Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja,” menurut kenyataan itu.

Cerapan Hilal Syawal bagi tahun ini pada petang Khamis, 29 Ramadan 1444H bersamaan 20 April ini.

JAKIM turut meminta semua pihak untuk menghormati ketetapan yang dibuat oleh Majlis Raja-raja mengenai perkara itu dan tidak membuat sebarang andaian mengenai tarikh Aidilfitri tahun ini.– BERNAMA

Loading...
Terkini