comscore
Tumpuan :
Tragedi

Warga Korea Cedera Tulang Belakang Jatuh Di Air Terjun Telaga Tujuh

Anggota bomba mengusung warga Korea yang cedera selepas terjatuh di puncak Air Terjun Telaga Tujuh, Langkawi. – FOTO Ihsan JBPM

LANGKAWI: Pelancong warga Korea Selatan cedera pada bahagian tulang belakang dan servik selepas terjatuh ketika melakukan aktiviti rekreasi di Air Terjun Telaga Tujuh di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Hyun Seung, 52 dilaporkan terjatuh dari puncak air terjun.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon berkata, mangsa dipercayai sedang mandi di kawasan air terjun berkenaan sebelum dikatakan hilang imbangan dan terjatuh.

Katanya, seramai lapan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi digerakkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 12.59 tengah hari.

“Sebaik tiba di lokasi, kita dimaklumkan terdapat pengunjung terjatuh di kawasan air terjun. Jarak dari kaki Gunung Mat Chinchang ke puncak air terjun adalah kira-kira 90 meter dan kita mengambil masa sejam untuk sampai ke lokasi.

“Anggota yang tiba di lokasi kemudian memberi rawatan awal kepada mangsa, sebelum dibawa turun ke tempat selamat menggunakan pengusung pada jam 2.54 petang,” katanya dalam kenyataan.

Sayani berkata, mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Maliha (HSM) bagi mendapatkan rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil setakat ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi semalam, seramai 44 pendaki termasuk tiga malim gunung terperangkap selepas berlaku fenomena kepala air dan arus deras di kawasan air terjun berkenaan.

Kumpulan pendaki berusia antara 30 hingga 50-an terbabit melakukan aktiviti pendakian bermula jam 4 pagi sebelum hujan lebat melanda menyebabkan mereka berhadapan kesukaran turun ke kaki gunung berkenaan. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini