Tumpuan :
Tragedi

Wanita maut kena hempap pokok tumbang

Anggota bomba memotong pokok yang tumbang untuk mengeluarkan mangsa yang dihempap. – FOTO: Ihsan Bomba

KOTA KINABALU: Cuaca buruk dengan hujan lebat berterusan mengakibatkan seorang wanita maut dihempap pokok di Kampung Laut Kinarut, Papar, manakala air pasang melimpah ke Jalan Tun Fuad Stephen, di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang, selain mangsa, pokok tumbang dilaporkan turut menghempap tiga rumah sehingga ranap.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Misran Bisara, berkata mangsa, Katizah Juani, 55, meninggal dunia dihempap sebatang pokok ara tumbang yang turut menghempap tiga rumah di Kampung Laut Kinarut.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira 3 petang dan pasukan bomba bertindak memotong pokok terbabit menggunakan gergaji berantai bagi mengeluarkan Katizah.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi tamat pada 5.29 petang selepas bomba memastikan keadaan di lokasi selamat,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Sementara itu, Misran berkata, pertembungan air pasang dengan hujan lebat berterusan mengakibatkan banjir kilat di beberapa kawasan di Tanjung Lipat di sini, termasuk Jalan Tun Fuad Stephen yang terletak di tepi pantai, yang juga antara jalan utama di bandar raya ini.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan bencana banjir di kawasan tersebut pada 4.15 petang tadi,” katanya.

Misran berkata terdapat sebuah kenderaan pacuan empat roda terjunam ke dalam parit di jalan itu dan didapati mangsa keluar sendiri dari kenderaan dengan dibantu orang awam sebelum pasukan bomba tiba.

“Mangsa dilaporkan selamat dan pemeriksaan di kawasan kenderaan turut dijalankan bagi memastikan keadaan selamat,” katanya.

Terdahulu tular menerusi media sosial air laut melimpah ke Jalan Tun Fuad Stephen dan sebuah kenderaan pacuan empat roda terbabas ke dalam parit akibat banjir kilat itu.

Loading...
Terkini