Tumpuan :
Tragedi

Wanita Hamil Maut Elak Ular, Bayi Selamat

Motosikal yang ditunggangi wanita yang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kampung Charuk Padang, Jalan Jeniang-Sik, Pedu. (FOTO: PDRM)

SIK: Akibat mengelak seekor ular melintas, seorang ibu yang sarat mengandung meninggal dunia, manakala bayinya diselamatkan selepas motosikal yang ditunggangi wanita itu terbabit dalam kemalangan dengan kereta.

Kemalangan berlaku di Kilometer 29, Kampung Charuk Padang, Jalan Jeniang Sik-Pedu, semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa, Nor Hidayah Abdullah, 27, menunggang motosikal bersama seorang remaja perempuan berusia 16 tahun.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman, berkata motosikal mangsa dari arah Sekolah Menengah Kebangsaan Sik menghala ke rumahnya di Bandar Baru Beris Jaya.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai cuba mengelak seekor ular di atas jalan menyebabkan mangsa memasuki laluan kereta sebelum berlaku pelanggaran di bahagian kiri kenderaan itu.

“Pemandu kereta itu yang juga seorang wanita berusia 61 tahun tidak mengalami kecederaan.

“Remaja perempuan yang membonceng motosikal itu pula mengalami kecederaan calar di tangan kanan, manakala wanita itu meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kandungan wanita itu berjaya diselamatkan selepas mangsa dibawa segera ke hospital,” katanya hari ini.

Abdull Razak berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini