Tumpuan :
Tragedi

Wanita Cedera Parah Dihempap Runtuhan Konkrit

KOTA KINABALU : Seorang wanita berusia 55 tahun parah selepas dihempap runtuhan konkrit di Jalan Sembulan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa dilaporkan patah tangan dan terpaksa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada 10.02 pagi sebelum lapan pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dikerahkan ke lokasi.

“Mengikut laporan, runtuhan membabitkan beranda di tingkat satu rumah kedai yang roboh dan menghempap mangsa.

“Mangsa yang cedera parah diserahkan kepada pihak ambulans dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pasukan operasi kemudian menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi risiko bahaya lain, sebelum operasi ditamatkan jam 10.40 pagi.

Loading...
Terkini