Oleh Fazli Ahmad
GENTING HIGHLANDS: Enam terbunuh dan lapan cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah van persiaran di Kilometer 4.8 Jalan Genting di sini, tengah hari tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mangsa terkorban membabitkan lima wanita dewasa dan seorang lelaki dewasa tetapi identiti semua mangsa belum diperolehi.
Katanya, bomba dimaklumkan mengenai kejadian kira-kira jam 1:15 tengah hari tadi dan lima pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands bergegas ke lokasi kejadian serta mendapati sebuah van jenis Nissan Urvan terbabas dan beberapa mangsa tersepit dalam kenderaan terbabit.
“Bomba bertindak membawa keluar semua mangsa tersepit dan enam mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.
Katanya, maklumat awal diterima lapan mangsa cedera membabitkan tujuh wanita dan seorang lelaki dan difahamkan ketika kejadian van persiaran terbabit dalam perjalanan turun dari Genting Highlands.
Menurut, semua mangsa tercedera dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan lanjut.