![](https://media.buletintv3.my/2022/10/Wrckhi5d-pp-cms-1024x538.jpg)
PUTRAJAYA : Suruhanjaya Tenaga (ST) memandang serius membabitkan insiden kemalangan elektrik yang meragut dua nyawa di Kampung Teras Jernang, Kajang, baru-baru ini.
ST dalam kenyataan, berkata berikutan insiden itu pihaknya menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Menurutnya, jika didapati berlaku kecuaian atau kesalahan oleh mana-mana pihak yang berkenaan, tindakan undang-undang boleh diambil di bawah Akta Bekalan Elektrik,1990 [Akta 447] dan Peraturan-Peraturan Elektrik, 1994.
“ST menasihati orang ramai agar cakna dengan risiko renjatan elektrik daripada kebocoran arus yang mungkin berlaku di sekitar kediaman.
“Orang ramai perlu memerhatikan persekitaran kediaman dan melaporkan dengan segera kepada pihak utiliti bekalan elektrik sekiranya terdapat kejanggalan pada pepasangan elektrik seperti wayar servis elektrik luka, terjuntai atau menyentuh bumbung rumah,” katanya.
ST berkata, sekiranya ingin melakukan pengubahsuaian atau penyenggaraan rumah, beberapa langkah hendaklah dititikberatkan.
“Jangan usik atau mengalihkan mana-mana pepasangan utiliti. Hubungi pihak utiliti bekalan elektrik.
“Lantik kontraktor yang berdaftar dengan ST untuk menjalankan kerja-kerja pendawaian elektrik.
“Lantik orang kompeten yang berdaftar dengan ST untuk membuat pemeriksaan sistem pendawaian elektrik secara berkala dan membuat penggantian sekiranya perlu. Orang ramai boleh meminta Kad Pendaftaran Orang Kompeten (Competent Person Identification Card) daripada orang kompeten untuk mendapatkan maklumat terus berkaitan status kekompetenan,” katanya.
Dalam kejadian petang Jumaat lalu, dua beradik, Adam Harish Zamri, 10, dan adiknya, Adam Haziq, 9, yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Bangi, maut selepas terkena renjatan elektrik ketika mandi dalam kolah di luar kediaman mereka.
Kejadian dipercayai berpunca daripada kebocoran arus wayar Tenaga Nasional Berhad (TNB). -BERITA HARIAN