comscore
Tumpuan :
Super Highlight

“Saya Mohon Maaf, Syukur Semua Selamat” – Kapten

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin melawat mangsa insiden nahas helikopter di Brinchang dekat Tanah Rata semalam yang sedang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB). –  FOTO : NSTP

IPOH : “Angin menolak dari semua arah, helikopter tidak dapat dikawal dan dalam keadaan hilang kawalan saya teruskan pendaratan cemas,” kata Juruterbang, Kapten Fedzrol Norazam, 43.

Fedzrol berkata demikian menceritakan detik cemas sebelum helikopter yang dinaiki lima penumpang yang terdiri daripada kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendarat cemas di kawasan hutan Brinchang dekat Tanah Rata, Cameron Highlands semalam.

Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika dalam perjalanan balik dari penerbangan untuk Perkhidmatan Pasukan Doktor Udara (PDU) daripada Kampung Gawin di kawasan Gua Musang ke Ipoh.

“Dalam perjalanan penerbangan balik pada tengah hari itu kami melalui laluan seperti biasa daripada Kampung Gawin ke Kampung Raja dan terus ke Ipoh.

“Tetapi pada masa itu Kampung Raja hujan, jadi saya terpaksa melencong pergi ke kawasan yang tidak hujan untuk melepasi Banjaran Titiwangsa di kawasan pergunungan Cameron Highlands, banyak tempat tapi kita memilih yang paling hampir,” katanya ditemui selepas diziarah Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), hari ini.

Mengulas lanjut, katanya apabila melalui kawasan berkenaan berlaku sedikit penolakan angin luar biasa kepada helikopter.

“Ketika itu saya sudah rasa penolakan angin dari bawah ke atas tetapi saya tidak memberitahu penumpang takut mereka panik.

“Saya cuba mengawal helikopter sebaik mungkin, namun sedikit demi sedikit susah untuk mengawal, yang mana helikopter semakin naik ke atas sedangkan sepatutnya nak pergi ke bawah,” katanya sambil menambah berikutan keadaan semakin sukar dikawal, dia cuba berpatah balik.

“Ketika saya cuba berpatah balik, datang satu angin yang menolak helikopter merapat ke arah satu bukit yang mana pada ketika itu helikopter berada pada ketinggian kira-kira 5,000 kaki.

“Apabila semakin menolak ke atas dan menuju ke arah bukit, saya tidak dapat mengawal sehingga terpaksa menarik (tolok) minyak sehingga habis, helikopter ketika itu sudah berada dalam keadaan tidak stabil untuk terbang.

“Dari segi kelajuan semakin lama semakin berkurangan, angin menolak dari semua arah dan apabila semakin hampir ke arah bukit saya tiada pilihan dan terpaksa membuat pendaratan cemas,” katanya.

Tambahnya, keadaan muka bumi yang bukan di kawasan lapang menyukarkan pendaratan cemas selain keadaan helikopter yang tidak dapat dikawal.

“Apabila sampai ke kawasan itu, saya mengambil langkah untuk teruskan juga dengan pendaratan cemas dan melakukan satu teknik bagi memastikan hentaman adalah bermula dari ekor agar kabin selamat, itu yang cuba saya lakukan ketika itu.

“Saya tidak sedar ketika helikopter terhempas, tidak tahu berapa lama saya tidak sedarkan diri dan saya hanya tersedar apabila terdengar orang berulang kali memanggil ‘kapten’, rupanya sayalah orang terakhir yang dibawa keluar dari pesawat.

“Saya mengalami pendarahan agak teruk pada kepala dan terasa pening, selaku juruterbang saya cuba mendapatkan respon untuk mengetahui keadaan mereka yang lain,” katanya sambil memaklumkan ketika itu ada berada dalam keadaan ‘shock’ ditenangkan oleh petugas kesihatan yang tiba di lokasi.

“Paling penting saya rasa bersyukur kerana semua selamat, saya minta maaf kerana ini semua terjadi, mungkin ada juga sebahagiannya kesilapan saya, namun mungkin ini sudah ketentuan Tuhan,” katanya.

Walaupun sudah melalui insiden berkenaan, Fedzrol tetap bersemangat untuk meneruskan penerbangan selepas ini.

“Saya tiada masalah untuk terbang lagi, saya tahu saya punya kebolehan dalam kerjaya saya. Kalau esok ni mereka suruh saya terbang, saya akan terbang,” katanya.

Semalam, media melaporkan Insiden nahas helikopter di Brinchang dekat Tanah Rata, di sini dikatakan berlaku dalam cuaca buruk. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini