KUALA LUMPUR: Sebuah rumah lima pintu berhampiran pintu gerbang Kampung Baru, Jalan Raja Muda Musa, di sini, musnah dalam kebakaran yang berlaku malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan dari MERS999 berhubung kejadian itu pada jam 8.19 malam.
Berikutan itu, sepasukan 36 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dengan bantuan BBP Sentul, BBP Jalan Tun Razak, BBP Hang Tuah diketuai Komander Operasi Kanan, Penolong Penguasa Bomba Rahmat Kamarulzaman kemudian bergegas ke lokasi.
“Setibanya jentera bomba di lokasi kejadian, kebakaran sebuah sumah berkeluasan 7.4 x 3.7 meter persegi melibatkan lima pintu dan terbakar 90 peratus.
“Tindakan operasi pemadaman menggunakan teknik offensive dan defensive dengan membuat cooling di rumah berhampiran,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Bahagian Operasi Negeri, Cawangan Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata tiada mangsa yang terlibat dalam kebakaran itu.
Menurutnya, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani turun ke lokasi kejadian malam tadi.
Beliau turut bertemu mangsa selain memastikan kebajikan mereka terjamin selepas insiden tersebut.