BINTULU: Kegembiraan beriadah bertukar tragedi selepas seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dipercayai hanyut dibawa arus deras laut semasa sedang mengadakan aktiviti riadah bersama-sama tiga lagi rakannya di Pantai Kampung Kuala Nyalau petang tadi.
Maklumat awal yang diperoleh dari Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju, Hashim Noshidi mengesahkan, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden pada jam 5.15 petang.
Sejurus itu katanya, sepasukan anggota bomba dari BBP Samalaju bergerak ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat mangsa.
“Sampai di lokasi kejadian pada jam 5.37 petang, pasukan bomba mendapati seorang remaja lelaki dikhuatiri hilang dibawa arus deras manakala seorang lagi rakannya yang berusia 18 tahun berjaya diselamatkan oleh orang awam yang turut berada di kawasan pantai,” ujarmya.
Usaha mencari dan menyelamat dengan menggunakan teknik pencarian di permukaan kemudiannya dijalankan dengan serta-merta menggunakan sebuah bot penyelamat dengan radius pencarian sehingga dua kilometer dari lokasi terakhir mangsa dipercayai lemas dibawa arus deras.
Usaha pencarian kemudiannya dihentikan pada jam 7.42 petang memandangkan hari sudah beransur gelap.
Menurutnya, usaha mencari dan menyelamat mangsa mangsa akan diteruskan jam 8 pagi esok.
“Sehingga kini, pasukan bomba dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mencari maklumat terprinci berhubung nama dan identiti mangsa,” katanya.
Sebarang perkembangan terbaru berhubung SAR akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.