Tumpuan :
Tragedi

Penjaja Buah Parah Kena Langgar

Keadaan gerai buah selepas kemalangan membabitkan empat kenderaan di Persimpangan Taman Seri Sentosa, Ayer Tawar, semalam.

LUMUT: Seorang penjaja buah tepi jalan parah selepas gerainya dilanggar kenderaan yang terbabit dalam kemalangan empat kenderaan di persimpangan Taman Seri Sentosa, Ayer Tawar, KM1, Jalan Ayer Tawar-Sitiawan, di sini, semalam.

Selain penjaja yang parah di tangan kanan, kemalangan empat kenderaan itu turut menyebabkan tiga lagi cedera termasuk seorang pejalan kaki dalam insiden jam 1.40 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta Proton Persona dari arah Taman Seri Sentosa menghala Taman Dinding cuba memotong laluan sebuah Toyota Vios di hadapannya.

Katanya, ketika memotong berlaku pergeseran antara Proton Persona itu dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X-Trail yang datang dari belakang di lorong kanan sekali gus mengakibatkan Proton Persona itu melanggar sebuah kereta jenis Honda CRV yang sedang keluar dari simpang kiri.

Pergeseran antara Proton Persona dan SUV terbabit mengakibatkan SUV berkenaan melanggar pula Toyota Vios justeru menyebabkan kedua-duanya berpusing sebelum melanggar dua gerai buah di bahu kiri jalan.

Dua kenderaan berkenaan kemudian merempuh gerai buah menyebabkan penjaja berusia 43 tahun parah manakala seorang pejalan kaki berusia 55 tahun cedera ringan.

“Dua pemandu berusia 37 dan 54 tahun yang melanggar gerai buah terbabit cedera ringan.

Nor Omar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi kesalahan memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.

Polis mohon kerjasama orang ramai yang ada maklumat berkaitan kejadian itu untuk menghubungi talian 05-6886222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini