comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah rogol remaja OKU kerdil

KOTA BHARU: Pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan merogol seorang remaja perempuan Orang Kurang Upaya (OKU) kerdil, Februari lalu.

Pertuduhan terhadap M Pikri Mohamed, 43, dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, M Pikri didakwa merogol remaja perempuan berusia 15 tahun ketika kejadian, dengan mengetahui kecacatan fizikal mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Sri Selising, dekat Pasir Puteh jam 5 petang pada 10 Februari 2024 dan 3 petang pada 11 Februari 2024.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (k) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 376 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan juga sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu Subhan manakala tertuduh diwakili peguam bela, Muhammad Zulfaqar Al Basysyar Saharrudin.

Terdahulu, Siti Edabayu menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 kepada tertuduh dengan seorang penjamin.Muhammad Zulfaqar Al Basysyar memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan sebanyak RM10,000 kerana anak guamnya bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 untuk kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 2 Ogos depan sebagai sebutan semula kes.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini