Tumpuan :
Tragedi

Penemuan Mayat Reput: Polis Tahan Teman Lelaki Mangsa

IPOH: Polis menahan suspek lelaki yang disyaki terbabit kes bunuh, susulan penemuan mayat reput di lokasi kemalangan berhampiran persimpangan lampu isyarat Pekan Tambun, baru-baru ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, berkata suspek lelaki warga tempatan berusia 24 tahun itu, yang juga teman lelaki mangsa, ditangkap di sebuah rumah di Taman Bersatu, Simpang Pulai, di sini Khamis lalu.

Katanya, turut dirampas beberapa barang kes berkaitan untuk membantu siasatan.

“Dengan tertangkapnya suspek ini yang dipercayai bertanggungjawab ke atas kematian mangsa, maka kes ini berjaya diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Yusri berkata, polis akan melengkapkan tindakan siasatan bagi kes itu dalam masa terdekat dan merujuk kertas siasatan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Perak untuk cadangan pertuduhan.

Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, atas kesalahan bunuh.

Media sebelum ini melaporkan, penemuan mayat reput di lokasi kemalangan berhampiran persimpangan lampu isyarat Pekan Tambun disyaki mempunyai padanan dengan satu kes orang hilang.

Terdahulu, media juga melaporkan, hasil bedah siasat terhadap mayat reput yang ditemukan di lokasi kejadian sebuah kenderaan terbabas ke dalam longkang berhampiran persimpangan lampu isyarat Pekan Tambun itu menunjukkan punca kematian adalah akibat dicekik.

Mayat wanita reput itu yang dipercayai meninggal dunia beberapa hari lalu, ditemui kira-kira tiga meter di lokasi kejadian sebuah kenderaan yang terbabas ke dalam longkang berhampiran persimpangan lampu isyarat Pekan Tambun. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini