Oleh Baharuddin Mohamed
MELAKA: Seorang pekerja bengkel maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas dan merempuh sebuah kereta di Jalan Paya Rumput berhampiran Kolej Komuniti Masjid Tanah di sini petang tadi.
Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa, Othman Abd Ghani, 41, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala, kaki dan tangan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Benelli dalam perjalanan dari arah Masjid Tanah ke Lubok Cina.
Kata beliau, setibanya di tempat kejadian, mangsa telah melanggar bahagian belakang sebuah kereta di hadapannya dari arah sama.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa hilang kawalan dan terbabas di laluan bertentangan menyebabkan mangsa melanggar sebuah kereta jenis Honda yang dipandu seorang guru dari arah bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Arshad, akibat perlanggaran hadapan dengan hadapan itu, mangsa terjatuh dah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat.
Guru yang mengajar di sebuah sekolah agama di Kuala Sungai Baru itu bagaimanapun ujarnya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes berkenaan tambah beliau, disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.