comscore
Tumpuan :
Tragedi

[VIDEO] Pegawai Kanan Jabatan Perhutanan Johor terbunuh

Oleh Fazli Ahmad

PEKAN: Penolong Pengarah (Seksyen Hutan Lipur), Jabatan Perhutanan Johor, Mohd Reza Musa, 37, rentung selepas kenderaan dipandunya merempuh lori sawit di Kilometer 33, Jalan Pekan – Rompin, dekat Nenasi kira-kira jam 7:30 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila lori sawit terbabit keluar dari simpang tanpa memberi laluan kepada kenderaan di jalan utama bergerak terus.

Katanya, akibatnya Perodua Myvi dipandu Mohd Reza dalam perjalanan dari arah Rompin ke Pekan merempuh lori sawit terbabit.

“Ketika kejadian lori terbabit dalam perjalanan dari simpang Ladang Yayasan Pahang di Sungai bebar Selatan menghala ke Rompin.

“Perodua Myvi dipandu mangsa merempuh bahagian tepi sebelah kanan lori sawit yang melintang jalan utama.”

“Akibat kemalangan itu pemandu tersepit dalam kenderaan dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori sawit tidak mengalami sebarang kecederaan.” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pekan untuk dibedah siasat dan kemalangan itu disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara merbahaya hingga menyebabkan kemalangan maut,

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang berkata, lima anggota dari Balai Nenasi bergegas ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan mengenai kemalangan itu.

Jurucakap terbabit berkata, sebaik anggota bomba tiba di lokasi kejadian Perodua Myvi itu sedang terbakar dan mayat mangsa dalam keadaan rentung ditemui di bahagian tempat duduk pemandu selepas api dipadamkan.

Loading...
Terkini