Tumpuan :
Tragedi

Mekanik Maut Rempuh Kereta Pelajar Mesir

| Oleh Baharuddin Mohamed

ALOR GAJAH: Seorang mekanik maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh sebuah kereta yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 221.4 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di sini pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9.40 pagi itu mangsa, Mohamad Syafik Mohd Azman, 25, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka akibat cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian, Mohamad Syafik yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Melaka.

Ketika tiba di tempat kejadian, katanya, Allahyarham gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh kereta jenis Hyundai Atos milik seorang pelajar Universiti Multimedia (MMU) warga Mesir, Elderdash Akram Salah Mohamed, 21, yang diletak di lorong kecemasan akibat kehabisan minyak.

“Siasatan mendapati, kereta Hyundai itu sampai di Kilometer 221.4 kerana kehabisan minyak menyebabkan ia berhenti di lorong kecemasan dengan memasang lampu kecemasan.

“Selang 30 minit kemudian, motosikal ditunggangi mangsa yang datang dari arah belakang telah melanggar kereta terbabit di bahagian belakang kanan di laluan kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Arshad, mayat Mohamad Syafik dihantar ke Zon Merah di Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut.

Mangsa katanya, kemudian dipindah ke Hospital Melaka sebelum disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan pada jam 3.30 petang tadi.

Ujarnya, pelajar warga Mesir terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tambahnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Loading...
Terkini