KUALA TERENGGANU: Seorang mekanik maut selepas kereta yang dipandunya merempuh belakang sebuah jengkaut di jalan Kampung Buluh Gading, di sini, petang tadi.
Kejadian pada kira-kira jam 3 petang itu menyebabkan kereta Perodua Kancil yang dipandu Muhammad Amir Izuan Sulong, 28, remuk teruk.
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Rakan sekerja mangsa, Tengku Ahmad Faizal Tengku Adnan, 26, berkata arwah dalam perjalanan dari tempat kerja di Kampung Pengkalan Setar, di sini menuju ke Gong Badak untuk menghantar mesin.
Menurutnya, dia mendapat tahu kejadian yang menimpa Muhammad Amir yang tinggal di Kampung Che Hassan, Gelugor Kedai, di sini daripada seorang lagi rakan sekerjanya.
“Ketika kejadian, saya berada di Gong Badak dan terus bergegas ke lokasi kejadian selepas mendapat berita yang Muhammad Amir terbabit kemalangan.
Ketika itu, saya tidak dimaklumkan lagi yang Muhammad Amir sudah meninggal dunia dan sebaik tiba saya terkejut melihat mangsa sudah tidak bernyawa,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.
Tengku Ahmad Faizal berkata dia kehilangan rakan yang gigih bekerja.
Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa arwah adalah pagi tadi ketika mereka keluar bersama rakan kerja yang lain untuk bersarapan pada kira-kira jam 10 pagi.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata tujuh pegawai dan anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.