YAN: Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemui di kawasan Alor Naga di puncak Gunung Jerai, hari ini.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pengadu pada jam 12.30 tengah hari berkenaan penemuan mayat di kawasan itu.
Berikutan itu katanya, bilik gerakan Balai Polis Yan menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) daerah Yan untuk bantuan.
“Mangsa ditemui di dalam sungai di kawasan air terjun Alor Naga tanpa pakaian.
“Mangsa kemudian berjaya dibawa keluar dari tempat kejadian pada jam kira-kira 5.30 petang tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Shahnaz berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat.
Beliau berkata, setakat ini hasil pemeriksaan fizikal pada mangsa mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan untuk mengangkat mayat itu pada jam 12.57 tengah hari tadi.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Guar Chempedak yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mazlan Yaacob tiba di lokasi tidak lama kemudian.
“Setibanya di lokasi, terdapat mayat lelaki yang dipercayai sudah meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Tindakan yang dilakukan anggota Bomba adalah dengan membawa mangsa berkenaan turun ke kaki bukit, dan menyerahkan mangsa kepada pihak polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohamadul Ehsan berkata, setakat ini identiti mangsa belum diperolehi.