SHAH ALAM: Satu mayat lelaki ditemukan terapung 500 meter dari Jeti Bagan Muara Esbee berdekatan Jambatan Sungai Buloh Sasaran di Jeram, Kuala Selangor, kira-kira 40 kilometer dari sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supritendan Ramli Kasa berkata, ia susulan pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 8.05 pagi tadi memaklumkan penemuan mayat lelaki yang belum dikenal pasti identitinya.
“Pada 9.45 pagi, mayat tersebut telah diangkat oleh pihak bomba dan diserahkan kepada anggota polis Balai Polis Kuala Selangor untuk dibawa ke Hospital Tanjong Karang bagi bedah siasat.
Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
Dalam pada itu, Ramli berkata penemuan mayat tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan Operasi Tapis yang dilaksanakan pihaknya pada 6.30 petang, Jumaat lepas di sebuah jeti berdekatan kawasan itu.
Ketika pihak polis cuba menghampiri jeti itu, sekumpulan lelaki yang belum dikenal pasti identiti telah melarikan diri dengan terjun ke dalam sungai dan berenang ke seberang sungai.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung insiden sekumpulan lelaki terjun ke dalam sungai itu pada malam 3 Februari lepas.
Menurutnya, sepasukan 15 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor serta Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) JBPM Selangor terlibat dalam operasi mencari mangsa berkenaan.- BERNAMA