Oleh Selwam Arjunan
BAYAN LEPAS: Seorang lelaki yang hilang ketika mandi di Pantai Tanjung Asam petang semalam ditemukan lemas siang tadi.
Mayat S.Thanaseelan, 20 tahun, ditemukan terapung kira-kira 600 meter dari kawasan pantai.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seri Balik Pulau, Mohd Faris Mansor berkata mayat mangsa ditemukan pada jam 9.25 pagi.
“Mayat mangsa ditemukan kira-kira 600 meter dari pantai oleh pasukan penyelamat dan nelayan yang terbabit dalam operasi yang berjalan lancar walaupun dalam keadaan laut bergelora akibat hujan lebat,” katanya ketika dihubungi selepas penangguhan operasi.
Katanya, ibu mangsa juga telah melakukan pengecaman positif terhadap mangsa sebelum kes diserah kepada pihak polis.
Semalam, mangsa yang berasal dari Air Itam itu dilaporkan hilang ketika mandi bersama enam lagi rakan di pantai berkenaan kira-kira jam 2.30 petang.
Operasi carilamat ditangguhkan pada jam 6.45 petang semalam sebelum disambung semula jam lapan pagi tadi.
Operasi disertai Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Bagan Jermal, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM) Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan dibantu nelayan tempatan.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang bagi tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 12.10 tengahari.