Tumpuan :
Tragedi

Mangsa bumbung runtuh trauma, menangis ketakutan lihat bumbung

Mangsa bumbung runtuh di Wisma Yatim Perempuan Islam Pulau Pinang, menerima kunjungan calon Parlimen Bukit Bendera, Richie Xuan Xin Yun dari BN.

GEORGETOWN: Trauma dan kerap menangis, begitu keadaan Siti Syahirah Zulkipli, 13, antara tiga mangsa yang cedera dalam kejadian bumbung runtuh di Wisma Yatim Perempuan Islam Pulau Pinang, Jalan Scotland, semalam.

Bagaimanapun dua lagi, Nur Jannah Motaleb, 8, serta Nur Batrisya Balqis Mohd Raffei, 10 dilaporkan semakin pulih namun mengadu sakit pada beberapa anggota badan.

Ketiga-tiga mangsa itu sudah dibenar keluar dari Hospital Pulau Pinang (HPP) kira-kira jam 5 pagi tadi dan kini ditempatkan di penempatan sementara di asrama Pusat Serantau Pendidikan Sains dan Matematik (RECSAM) Jalan Sultan Azlan Shah, Gelugor, di sini, bersama 27 penghuni lain.

Warden asrama, Noor Niah Abu Bakar, berkata emosi Siti Syahirah agak terganggu dan dia hanya menerima kunjungan pasukan perubatan yang memantau keadaan kesemua mangsa.

“Selepas keluar dari hospital, Siti Syahirah tidak mahu bercakap dan mengadu sakit, malah dia menjadi ketakutan ketika melihat bumbung.

“Nur Jannah yang luka didahi masih berasa sakit manakala Nur Batrisya Balqis sukar bergerak kerana terseliuh pada kaki kanan dan kaki kirinya sedikit luka akibat terkena serpihan kaca,” katanya ketika ditemui di Gelugor, di sini, hari ini.

Noor Niah berkata, setakat ini mereka menerima pelbagai sumbangan makanan dan ia sudah mencukupi.

“Cuma penghuni di sini perlukan sedikit pakaian yang sesuai, telekung solat, pakaian dalam serta keperluan pembersih diri,” katanya lagi.

Terdahulu, penghuni itu menerima lawatan Calon Bukit Bendera, Richie Xuan Xin Yun dari Barisan Nasional (BN) bagi bertanya khabar dan menguruskan bantuan yang diperlukan.

“Lawatan ini tidak termasuk dalam aktiviti kempen, tetapi atas dasar keprihatinan terhadap kejadian yang menimpa,” kata Richie.

Turut berada di lokasi ialah pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pulau Pinang.

Dalam kejadian sekitar jam 9.30 malam itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata pada masa ini, walaupun kejadian dikenalpasti tidak berunsurkan khianat namun wisma berkenaan ditutup sementara bagi siasatan lanjut.

Bangunan wisma berkenaan sudah beroperasi sejak tahun 1984 dan ia adalah bangunan lama. – BERITA HARIAN

 

Loading...
Terkini