comscore
Tumpuan :
Tragedi

Lori Masuk Laluan Bertentangan Langgar Kereta, Wanita Warga Emas Maut

Keadaan kereta Proton Waja yang dilanggar sebuah lori menyebabkan seorang wanita warga emas maut tengah hari tadi. – FOTO : Ihsan bomba

KLUANG : Wanita warga emas maut, manakala tiga yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan Proton Waja dan lori bermuatan ais di Kilometer 47, Jalan Batu Pahat – Mersing dekat Sri Lalang di sini, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata dalam kemalangan kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa maut di tempat kejadian dikenali sebagai Ungku Zaidah Mansor berusia 70-an, akibat parah di kepala.

Beliau berkata, mangsa yang cedera adalah pemandu lori yang belum dikenali identitinya dan menerima rawatan di zon kuning Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), pemandu kereta dikenali sebagai Md Yunus Dhal, 70-an, mengalami kecederaan di kepala dan tangan serta menerima rawatan zon merah di HEBHK serta penumpang belakang PROTON Waja, Afif Imran Shamsul,2, yang luka di bawah dagu dan leher serta menerima rawatan di hospital sama.

Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati lori yang dipandu lelaki berusia 60-an dari arah Kluang ke Batu Pahat itu disyaki hilang kawalan dan masuk ke laluan PROTON Waja yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat perlanggaran itu, wanita warga emas terbabit meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori cedera di bahagian leher, luka di telinga kiri, bahu kiri dan kaki kiri serta pemandu kereta dan seorang bayi turut menerima rawatan di HEBHK.

“Punca kemalangan masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan, Mohd Noor Hakim Nordin berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Johor menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan jalan raya melalui talian MERS999 pada jam 1.13 petang.

Susulan itu, beliau berkata, sebuah jentera FRT dan EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang dengan lapan anggota dihantar ke tempat kejadian.

“Dua mangsa dalam PROTON Waja iaitu pemandu dan wanita warga emas tersepit di tempat duduk masing-masing.

“Anggota bomba mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan khas, manakala mangsa yang cedera diberikan rawatan awal oleh unit EMRS dan dihantar ke hospital menggunakan EMRS bomba

serta ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) ke hospital berhampiran.

“Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini