Tumpuan :
Tragedi

Lelaki maut kereta terbabas rempuh kotak pembentung

Oleh Ezzuan Ahmad 

DUNGUN : Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dalam kejadian di Lebuhraya Pantai Timur, LPT2, di sini, pada jam 8.20 pagi tadi.

Nahas yang berlaku di kilometer 347.1 selepas susur keluar plaza tol Kuala Dungun itu menyebabkan mangsa maut di lokasi kejadian setelah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Baharudin Abdullah mengesahkan mangsa yang maut M. Suraya Khalij Mohamed, 46, yang merupakan seorang juruteknik elektrik di sebuah syarikat petrokimia di kawasan perindustrian Kerteh, di daerah Kemaman.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan dari kediamannya di Ajil untuk memulakan tugas dan setiba di lokasi kejadian kereta jenis Proton Wira Aeroback yang dipandunya dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri lebuh raya.

Kereta mangsa kemudiannya merempuh sebuah kotak pembentung longkang menyebabkan mangsa tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia.

Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Dungun mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut .

Mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Loading...
Terkini