Tumpuan :
Tragedi

Lelaki Hilang Selepas Uji Jet Ski Di Sekitar Pulau

Gambar hiasan. – FOTO : Reuters

KUCHING: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas menguji jet ski bersama rakan, di perairan Pulau Talang-Talang, Sematan, kira-kira 100 kilometer (km) dari sini, semalam.

Kehilangan mangsa, Lee Chong Loong yang usia belum dikenal pasti, dikatakan disedari oleh rakannya ketika mereka hendak kembali ke jeti.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata pihaknya menerima panggilan daripada Balai Polis Sematan berhubung kejadian itu pada jam 12.20 tengah malam tadi.

Berdasarkan maklumat awal, katanya, rakan mangsa dikatakan berusaha mencari lelaki itu hingga kira-kira jam 7.30 malam, namun gagal sebelum membuat laporan di Balai Polis Sematan.

“Lelaki terbabit bersama seorang rakan dilaporkan turun ke laut melalui Jeti Pak Amit di Santubong dengan menaiki dua jet ski.

“Pada mulanya, mereka dikatakan menuju ke Pulau Satang dan mengelilingi kawasan pulau itu sambil memancing,” katanya.

Menurut laporan rakan mangsa, katanya, keadaan cuaca adalah baik ketika mereka menaiki jet ski dan kemudian meneruskan perjalanan ke Telok Melano.

“Selepas itu, mereka dikatakan menghala ke arah utara, kira-kira tiga batu nautika dari perairan Telok Melano, menuju ke Pulau Talang-Talang.

“Rakan mangsa memaklumkan, jarak antara mereka ketika menunggang jet ski itu agak jauh, iaitu kira-kira satu batu nautika antara satu sama lain. Rakannya itu dikatakan mula menyedari mangsa tidak kelihatan ketika mereka bergerak dari Pulau Talang-Talang untuk balik semula ke jeti,” katanya.

Susulan itu, katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu melancarkan gerakan mencari dan menyelamat (SAR) sebaik saja menerima laporan, namun operasi ditangguhkan pada jam 1.30 pagi tadi.

“Pencarian diteruskan pada pagi ini bersama beberapa agensi penyelamat yang lain,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini