MELAKA: “Hampir 10 minit kami mengorek pasir bagi mengeluarkan ibu bayi itu yang dihempap pokok Ru,” ujar Mohamad Saiful Mohamad Ali, 35, yang juga saksi kejadian pokok tumbang mengorbankan bayi lelaki berusia 15 bulan di Pantai Puteri di sini, petang semalam.
Saiful berkata, ketika kejadian jam 6.30 petang itu, dia berada di gerai berhampiran sambil menjamu selera bersama beberapa ahli keluarga.
Menurutnya, mereka terdengar pokok patah sebelum bergegas ke arah lokasi kejadian untuk melihat apa yang berlaku.
“Situasi ketika itu amat cemas dan kelam kabut. Mangsa wanita berada dalam keadaan terbenam di bawah dahan pokok manakala bayinya tercampak dan tidak sedarkan diri.
“Saya bersama lapan pengunjung cuba untuk mengangkat dan mengalihkan dahan pokok yang menghempap mangsa tetapi gagal berikutan terlalu berat.
“Cemas melihat wanita itu tidak bergerak dan bersuara, saya bersama beberapa orang cuba mengorek pasir separas lengan bagi membolehkan mangsa dibawa keluar. Ketika itu darah sudah memenuhi kepala wanita itu.
“Mujurlah selepas kira-kira 10 minit, mangsa wanita dapat dibawa keluar sebelum dia dan anaknya dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, dia difahamkan wanita dan bayinya itu sedang duduk di tepi pantai sambil melihat suami serta dua anaknya bermain air.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor Tuminah Kadi, berkongsi berita sedih menerusi laman sosial Facebooknya semalam berhubung kejadian itu.
“Jam 1.30 pagi tadi Kak Ina mendapat panggilan daripada pihak Hospital Melaka bahawa adik Muhammad Zafran Ilman Mohd Syazwan (mangsa) dihempap pokok kembali kepada sang pencipta.
“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang yang beriman dan diharapkan ibu dan ayah serta keluarga tabah dengan dugaannya ini,” kongsinya.
Media sebelum ini melaporkan, perkelahan lima sekeluarga bertukar detik cemas, apabila ibu dan bayi lelakinya berusia setahun lima bulan cedera dihempap dahan pokok Ru di Pantai Puteri, petang semalam. – HARIAN METRO