Oleh Kumaran Rajamoney
BALING: Sebuah stor penyimpanan jentera berat sebuah kilang kayu terbakar dalam satu kejadian sekitar jam 10 malam tadi di Ladang Baling, Kuala Ketil di sini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin, dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 10.02 malam.
Pihaknya menggerakkan keanggotaan dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, BBP Amanjaya dan BBP Kulim Hi-Tech.
“Sebaik tiba, kita mendapati kebakaran melibatkan kilang kayu kelas C yang menempatkan 3 buah jentera berat.”
“Anggaran kemusnahan bangunan adalah 40 peratus, dan turut melibatkan 2 buah jentera berat yang mengalami kemusnahan 70 peratus. Tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian kebakaran ini.”
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.36 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.32 pagi.
Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.