Oleh Fazli Ahmad
PEKAN: Seorang wanita maut manakala suaminya cedera setelah kereta mereka merempuh seorang pejalan kaki sebelum terbabas dan terjunam ke dalam sungai di sini, pagi tadi.
Nahas berlaku di jalan Pekan – Rompin dekat kampung Merchong, Nenasi, Pekan kira-kira jam 9.40 pagi turut menyebabkan pejalan kaki terbabit terbunuh.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mangsa, Nor Katijah Mamat, 33 tahun dihanyutkan arus selepas kereta dipandu suaminya dari arah Pekan ke Rompin terbabas ke dalam sungai terbabit .
Suami mangsa sempat menyelamatkan diri dan hanya cedera ringan.
Nor Katijah pula dilaporkan sempat keluar daripada kereta tetapi dihanyutkan arus.
Mayatnya dijumpai orang awam berhampiran muara Sungai Merchong kira-kira dua kilometer dari lokasi nahas.
Sementara itu, identiti mayat pejalan kaki belum dikenalpasti.
Mayat wanita serta perjalan kaki terbabit dihantar ke Hospital Pekan .