Oleh Baharuddin Mohamed
MELAKA: Ahli keluarga kepada mangsa tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor, Tai Seng Fui, 62, kecewa apabila ada pihak tidak dikenali mengambil kesempatan melancarkan tabung sumbangan kononnya untuk membantu meringankan beban keluarga terlibat.
Jelas Seng Fui, 62, keluarganya tidak pernah melancarkan sebarang tabung derma kerana
anaknya, Tai Chang Lin, 35, menantu, Yu Siew Pay, 34, dan dua cucunya masing-masing berusia empat serta tujuh tahun masih belum ditemui.
Jelasnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ahli keluarganya sedang diteruskan oleh agensi berkaitan.
Bagaimanapun katanya, sejak semalam ahli keluarganya mengesan aktiviti mengutip dana di laman sosial yang didakwa untuk upacara sembahyang mangsa insiden tanah runtuh.
“Semalam, anak saya yang lain nampak di Facebook ada netizen muat naik status mengatakan sedih dengan tragedi yang meragut nyawa dan dia telah membantu mencari tokong untuk upacara sembahyang bagi mereka yang maut serta masih hilang.
“Justeru, ramai pembaca yang memberi respons bersimpati dan menyumbang, namun kami tidak pernah dihubungi berhubung kutipan dana itu,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.
Difahamkan sumbangan itu termasuklah bagi membeli barangan keperluan upacara dan membayar upah sami.
Seng Fui juga kecewa apabila pengguna Facebook terbabit turut menggunakan gambar-gambar tokong dan berkaitan upacara sembahyang yang dipercayai diperoleh daripada hasil carian dalam internet.
“Kami pelik, dia juga letak senarai nama mangsa yang terlibat tetapi keluarga kami masih belum ditemui.
“Di Kampung Machap Baru ini, hampir 30 peratus penduduk merupakan keturunan keluarga ‘Tai’ dan ada keluarga lain yang terima panggilan daripada saudara mara yang hairan mengapa kutipan untuk upacara sembahyang telah dibuat.
“Perkara ini telah mencetuskan salah faham dan kami sangat marah kerana sehingga kini pihak terbabit tidak meminta izin dan tidak tahu kutipan tersebut ke mana, malah kini posting tersebut juga telah dipadamkan,” katanya.
Justeru Seng Fui meminta orang ramai menyemak kesahihan sebarang tabung yang dilancarkan di laman sosial bagi mengelak diperdayakan pihak tidak bertanggungjawab.
Pihaknya akan membuat laporan polis jika perkara itu terus menimbulkan ketidakselesaan kepada keluarganya.